Pembelajaran abad ke 21 banyak mengubah corak pengajaran dan
pembelajaran kita selama ini. Perubahan positif ini adalah bagi memastikan apa
yang kita lakukan adalah seiring dengan perkembangan teknologi dan kemajuan
dunia zaman sekarang. Dengan kewujudan pelbagai teknologi terkini, maka sudah
pasti adalah tidak relevan lagi amalan pengajaran pada abad terdahulu terus
diamalkan pada masa sekarang.
Saya kongsikan beberapa ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang
guru pada abad 21. Selamat beramal!
1. Menguasai Subjek
Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang
diajar. Tentu agak canggung jadinya jika guru sendiri masih terkial-kial untuk
menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek yang diajarnya.
2. Mahir dan Berketrampilan dalam Pedagogi
Guru haruslah mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan
strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan p&p di
dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu mewujudkan suasana
pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.
3. Memahami Perkembangan
dan Menyayangi Murid
Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi
seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi
mereka seadanya. Guru abad 21 seharusnya mampu untuk menilai perkembangan murid
sesuai dengan kebolehan mereka.
4. Memahami Psikologi Pembelajaran
Guru abad 21 juga berupaya untuk memahami psikologi
pembelajaran bagi para pelajarnya. Hanya dengan memahami bagaimana minat dan
respon pelajar ketika belajar, maka akan membantu seseorang guru itu berfungsi
dengan lebih baik sebagai seorang pendidik.
5. Kemahiran Kaunseling
Guru juga perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika
berurusan dengan pelajar. Kemahiran untuk membantu pelajar menangani emosi,
sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan
remaja. Adalah satu kelebihan untuk guru-guru yang memiliki kemahiran
kaunseling dalam menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah.
6. Penggunaan Teknologi Terkini
Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini
merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21. Selain daripada murid
yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain,
maka guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik
minat pelajar untuk belajar. Pembelajaran yang menggunakan lcd, game, aplikasi
mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.